Saturday, April 25, 2009

Angkasawan Malaysia Jadi Juri Pertandingan Antarabangsa Airbus

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Angkasawan pertama Malaysia Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dipilih menganggotai panel 10 pakar antarabangsa bagi menghakimi pertandingan akhir Airbus "Fly Your Ideas", yang disertai pelajar dari seluruh dunia.

Panel juri bebas ini dianggotai lima wakil Airbus dan lima pakar industri.

"Angkasawan ini telah memberi ilham kepada banyak anak muda dari rantau ini dan tempat lain untuk meminati bidang aeronautik.

"Oleh itu, kami amat gembira dan berbesar hati dengan penyertaan Datuk Dr Sheikh Muszaphar sebagai hakim dalam pertandingan kami ini, lebih-lebih lagi memandangkan sambutan hebat yang kami terima dari seluruh rantau ini " kata pengarah komunikasi Airbus rantau Asia Sean Lee dalam kenyataan di sini Rabu.

Pertandingan itu dilancarkan tahun lepas oleh Airbus -- antara syarikat pengeluar kapal terbang terkemuka dunia -- bagi mencabar kemampuan pelajar dari seluruh dunia yang menuntut di peringkat ijazah, sarjana atau PhD supaya mengemukakan idea inovatif dan mesra ekologi bagi mencorakkan bentuk industri penerbangan pada masa akan datang.

Lebih 2,350 pelajar dari 130 negara mendaftarkan diri untuk menyertai pertandingan itu dan daripada 225 pasukan yang dicadangkan penyertaannya pada peringkat awal, 86 dipilih bagi mengemukakan idea dalam pusingan kedua.

"Sambutan yang diterima dari Asia cukup hebat dan sebanyak 38 pasukan telah dipilih memasuki Pusingan Kedua, termasuk lima pasukan dari Universiti Teknologi Malaysia," katanya.

Dengan tinggal beberapa minggu saja lagi sebelum berakhirnya Pusingan Kedua, pakar Airbus daripada pelbagai bidang kini sibuk membuat penilaian terhadap cadangan yang telah dikemukakan, sebelum memilih lima pasukan untuk bertanding secara langsung pada pusingan akhir 19 Jun di Pertunjukan Udara Le Bourget di Paris.



-- BERNAMA


Maklumat lanjut di http://www.airbus-fyi.com/

No comments:

Post a Comment