Monday, January 12, 2009

Sukarelawan Angkasawan Dipanggil


KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan memanggil semula sukarelawan yang pernah disenarai pendek ketika sesi pemilihan angkasawan negara bagi membolehkan mereka turut terbabit membantu pelaksanaan Program Angkasawan yang dikemas kini.

Timbalan Menterinya, Fadilah Yusof, berkata panel khas sudah dilantik Mosti bagi meneliti maklumat serta kredibiliti sukarelawan terbabit dalam pelaksanaan program terkini, malah angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muzaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Mejar Dr Faiz Khaleed akan turut dipanggil bagi membincangkan potensi dan pembabitan mereka dalam program itu.

"Keputusan kita untuk memanggil mereka adalah untuk membincangkan keseluruhan mekanisme serta berkongsi idea bagi meningkatkan lagi keberkesanan program, selain membincangkan pelbagai perkara berkaitan.

"Perbincangan bersama mereka dilihat amat membantu dalam usaha meningkatkan imej dan inti pati program ini kerana industri aeroangkasa adalah sektor unik yang mana bantuan dalam bentuk dasar dan kewangan dianggap satu kemestian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Program Angkasawan yang dirancang hasil perjanjian timbal balas pembelian 18 jet pejuang Sukhoi (SU-30) MKN dari Russia menjadi kebanggaan negara apabila Dr Sheikh Muszaphar berjaya tiba di Stesen Angkasa Antarabangasa (ISS) pada Oktober 2007.

Hampir 12,000 sukarelawan memohon menjalani latihan menjadi angkasawan namun hanya 200 terpilih untuk saringan awal dan ia ditapis lagi kepada 30 berdasarkan kriteria terperinci termasuk faktor kesihatan fizikal serta mental sebelum hanya 10 layak ke peringkat akhir.

Berita Harian 9hb Januari 2009

No comments:

Post a Comment