Thursday, January 29, 2009

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor di Gaza



Pengalaman di Gaza



Selepas melihat kesengsaraan dan kematian yang berlaku di bumi Palestin akibat serangan tentera Israel , saya mengambil keputusan untuk mengambil tindakan secara drastik . Saya tidak boleh duduk berdiam diri sahaja melihat kekejaman tentera Israel melalui kaca televisyen . Alhamdullillah pada 19hb Januari 2009 , saya menyahut "panggilan" untuk berlepas ke Gaza melalui Bandar Kaherah bersama kumpulan NGO Pemuda Masjid untuk menghulurkan apa jua bantuan yang terdaya . Saya pergi ke Gaza sebagai seorang doktor Ortopedik dan bukan sebagai angkasawan .



Tiba di Bandar Kaherah , kami bermalam seharian sementara menanti dokumen yang diperlukan termasuk meminta bantuan dari Kedutaan Malaysia di Mesir. Kami bertolak ke Rafah pada sebelah petang dengan menaiki van yang mengambil masa selama 6 jam setelah melalui 11 pintu checkpoint kesemuanya tetapi malangnya pintu masuk ke bumi Palestin telahpun ditutup dan kami terpaksa bermalam di Bandar Arish hanya 30km dari sempadan.



Pada keesokan hari jam 0800 pagi kami sudahpun berada di sempadan Rafah dan berkesempatan untuk berjumpa dengan ramai ahli NGO dari negara negara lain termasuk MerC Indonesia dan Turkey yang masih menunggu sejak dari awal pagi lagi. Setelah 5 jam penantian akhirnya pihak kastam Mesir membenarkan kami masuk ke bumi Palestin.



Kami menaiki teksi dan terus menuju ke Bandar Gaza yang hanya 25km dari sempadan . Di sinilah segala pengeboman Bandar Gaza dapat dilihat oleh tentera Israel yang tidak kenal erti berperikemanusiaan. Saya melihat dengan hati sayu bangunan bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel termasuk 18 buah hospital , 41 buah masjid , bangunan Parlimen , markas Polis , Universiti Islam dan pelbagai lagi .



Kelihatan rata rata rakyat Palestin hidup seperti biasa . Kanak kanak kelihatan bermain bola di tebing jalan , golongan wanita dan golongan lelaki berurus niaga seperti sediakala seolah olah tiada apa apa yang telah berlaku , berkemungkinan mereka telah biasa dengan peperangan semenjak tahun 1948 lagi .



Hospital Shifa



Saya berkesempatan untuk bekerja di Shifa Hospital sebagai doktor Ortopedik bersama doktor doktor Palestin selama 2 hari memberi bantuan yang termampu. Wad wad Ortopedik dan Surgery penuh dengan mangsa pengeboman termasuk golongan wanita dan kanak kanak dan kepakaran doktor tidak mencukupi bekerja tanpa mengenal penat lelah .



Kebanyakan pesakit yang dihantar untuk mendapat rawatan di luar Palestin tidak dapat melepasi sempadan kerana ditahan dan terpaksa berdiaman di dalam ambulans selama 2 hari sebelum dihantar kembali ke Hospital Shifa iaitu hospital terbesar di Gaza. Saya sendiri telah membuat pembedahan ke atas seorang wanita yang telah terkena tembakan Israel setelah 19 hari kejadian tersebut berlaku . Setelah 6 jam melakukan pembedahan hanya masa yang akan menentukan samada tangan beliau boleh diselamatkan .



Saya sudahpun lakukan apa yang terdaya . Peralatan tidak mencukupi termasuk bekalan ubat dan kami lakukan apa yang termampu . Pengeboman Israel yang menggunakan biological weapon termasuk “ white phosphorus “ menyukarkan lagi keadaan .



Saya berkesempatan untuk berjumpa dengan Menteri Kesihatan Palestin yang meluahkan masalah yang mereka alami dan memohon bantuan dari negara negara Islam agar menamatkan kekejaman peperangan Israel terhadap penduduk Palestin termasuk memberi bantuan humanitarian aid . Saya pernah ke Afghanistan pada tahun 2002 bersama MERCY tetapi tidak pernah melihat keadaan yang begitu dashyat sekali di mana penduduk Palestin seolah olah terperangkap dan tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan makanan mahupun perubatan.

Setelah 5 hari di Gaza kami terpaksa bergegas pulang kerana mendapat khabar berita bahawa Israel akan mula menyerang sempadan dengan tujuan untuk memusnahkan beratus ratus terowong yang menyambung Palastin ke Mesir . Saya berkesempatan untuk melihat terowong rahsia yang dibina dan berjumpa dengan anak anak yatim Palestin yang telah kehilangan ibubapa sepanjang 3 minggu pengeboman Israel terhadap Palestin. Saya kini berada di Kaherah berjumpa dan memberi ceramah motivasi kepada pelajar pelajar Malaysia di Mesir seramai 6000 pelajar kesemuanya.



Saya menyeru kepada rakyat Malaysia agar memberi sumbangan dalam apa jua yang termampu termasuk dana , makanan mahupun ubat ubatan . Bagi saya , sumbangan yang terbaik adalah doa doa dan sembahyang hajat kepada rakyat Palestin agar kesengsaraan mereka akan mendapat bantuan Allah SWT .



Wassalam

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor

3 comments:

  1. Sekadar ingat mengingatkan. Jangan lupa selalu berdoa untuk saudara kita di Palestin. Doa Qunut Nazilah

    “Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

    Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

    Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”
    Sumber: JAKIM
    View Profile: Rantong

    ReplyDelete
  2. Salam. ini 1st time tgk this blog even though it had been published for quite some time. a very good ones. sangat mengkagumkan! a good heart that is made for others.. belum tentu semua org mampu melakukannya.. tahniah to all sukarelawan :)

    ReplyDelete