Wednesday, September 3, 2008

Bengkel Sains Mikrograviti

Bersama Mejar Dr. Faiz Khaleed di PICC

Bengkel Sains Mikrograviti 2 – 3 September 2008 Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya Putrajaya, 1 September 2008- Y.B. Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) akan merasmikan Bengkel Sains Mikrograviti pada 2 September 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) anjuran Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dengan kerjasama Bahagian Bioteknologi Kebangsaan (BIOTEK). Bengkel Sains Mikrograviti akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 2-3 September 2008 akan menghimpunkan seramai 150 orang peserta dalam dan luar negara. Di samping itu seramai 20 pembentang dari dalam dan luar negara akan membentangkan hasil kajian mereka. Fokus utama bengkel berkenaan adalah untuk membincangkan hasil-hasil penyelidikan yang telah dikendalikan oleh Angkasawan Negara Dato Dr.Sheikh Mushzapar Shukor semasa beliau berada di Stesen Angkasa Antarabangsa selama 12 hari. Seperti sedia maklum, Dato Dr. Sheikh Mushzapar Shukor telah dilancarkan ke Stesen Angkasa Antarabangsa menggunakan TMA 11 pada 10 Oktober 2007 telah diamanahkan untuk melaksanakan beberapa eksperimen yang telah dicadangkan oleh beberapa saintis tempatan iaitu seperti ‘Cell in Space’, ‘Microbes in Space’ dan ‘Protein in Space’. Sekembalinya Angkasawan Negara ke bumi pada 21 Oktober 2008, kesemua bahan eksperimen telah dipulangkan semula kepada setiap saintis untuk penganalisisan. Setelah hampir 10 bulan menjalankan penganalisisan, kini tibalah masa untuk para saintis tempatan dan luar negara untuk mengumumkan penemuan serta hasil kajian sains mikrograviti yang telah dikendalikan oleh Dato Dr.Sheikh Mushaphar Shukur kepada pengetahuan orang ramai. Bengkel Sains Mikrograviti telah menetapkan beberapa objektif untuk dicapai. Antaranya ialah untuk memberi peluang kepada para saintis yang terlibat dalam misi Program Angkasawan Negara untuk mengumumkan hasil kajian masing–masing kepada saintis tempatan yang lain. Di samping itu, bengkel berkenaan akan menjadi asas untuk meneroka peluang kerjasama sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa disamping merancang masa depan dalam bidang kajian mikrograviti. Selain itu, bengkel ini juga memberi peluang kepada saintis–saintis Malaysia yang hadir untuk menjalin kerjasama dalam Eksperimen Sains Mikrograviti dengan institusi luar negara.

Dewan sidang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya Putrajaya

Bengkel ini juga boleh dijadikan platform kepada saintis – saintis tempatan dalam pelbagai bidang untuk mencari peluang kerjasama menjalin eksperimen mikrograviti dengan beberapa negara lain seperti Rusia, Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat. Bengkel tersebut juga akan membuka ruang kepada peserta untuk mengetahui sejauh mana kajian-kajian yang telah dijalankan oleh saintis kita memberi manfaat dalam pelbagai bidang khususnya di bidang perubatan. Untuk maklumat lanjut mengenai bengkel ini, sila kunjungi laman web rasmi Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) www.angkasa.gov.my atau menghubungi pegawai tersebut : Nama : Mhd Fairos Asillam No tel : 03 – 8888668 / 019-3353539 Faks : 03 - 88883480

No comments:

Post a Comment